Wednesday, 20 February 2013


Masa depan beregu wanita kini cerah: Rosman

Oleh Mohd Hilmie Hussin ( harian metro )

Kuala Lumpur: Kemenangan Amelia Alicia Anscelly -Soong Fie Cho pada kejohanan Satelit Cabaran Antarabangsa Terbuka Iran hujung minggu lalu menyebabkan jurulatih beregu wanita, Rosman Razak yakin masa depan pemain wanita masih cerah.
“Prestasi Amelia-Fie Cho tidak menghairankan kerana mereka bekerja keras dalam latihan, begitu juga ketika menghadapi kejohanan,” kata Rosman.

Gandingan yang baru diserap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada September lalu itu menunjukkan keazaman tinggi dalam latihan dan kemenangan ke atas pasangan ranking ke-41 dunia dari Denmark, Nicole Grether-Charmaine Reid 21-18, 21-15 pasti mewujudkan saingan sihat di kalangan pemain beregu wanita negara.
Amelia-Fie Cho kini di ranking ke-63 dunia dan akan terus disenaraikan bertanding pada kejohanan Satelit sekitar Eropah, bulan depan.

Sementara itu, Rosman juga mensasarkan beregu wanita keempat negara yang juga pasangan remaja, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean untuk muncul juara Cabaran Antarabangsa Terbuka Austria, bermula hari ini.

“Pada masa ini, Amelia-Fie Cho dan Mei Kuan-Meng Yean menjadi taruhan sebagai beregu kedua untuk cuba menembusi kelompok 30 terbaik dunia akhir tahun ini bagi menyertai Ng Hui Lin-Ng Hui Ern dan Woon Khe Wei-Vivian Hoo, serta Goh Liu Ying-Lim Yin Loo.” Mei Kuan-Meng Yean yang menduduki ranking ke-51 dunia, disenarai selaku pilihan utama di Austria dan membuka cabaran menentang beregu kelayakan, Petya Nedelcheva-Dimitria Popstoikova dari Bulgaria yang menduduki ranking ke-62 dunia.
Selain Mei Kuan-Meng Yean, Tan Aik Quan-Lai Pei Jing juga diletakkan selaku pilihan utama beregu campuran di Austria.

No comments:

Post a Comment